NONA SCORPIO
Kejujuran adalah dasar utama kejayaan
Friday, 14 February 2014
Monday, 2 December 2013
SAYANGI MARUAH BANGSA
Salam,
Sejak
akhir-akhir ini, saya banyak terbaca pelbagai isu hangat yang melanda negara.
Baik dari segi politik, isu semasa, tidak ketinggalan juga industri hiburan.
Amat jarang sekali untuk saya menyuarakan pendapat dengan memberi komen pada
isu-isu yang diketengahkan. Bukannya tidak berminat, tapi minat itu terputus
serta-merta apabila melihat komen-komen yang lain.
Ternyata
ramai orang gemar memberi kata-kata kesat sebagai cara menyuarakan pendapat.
Apa yang menyedihkan lagi, rata-rata orang Melayu kita yang banyak memberi komen
negatif serta mencaci maki menunjukkan rasa tidak puas hati. Sudah terlalu
banyak, sehingga saya terfikir, sampai bila harus adanya sifat sebegini dalam
bangsa kita?
Memang
benar, sesiapa saja juga boleh bertindak sedemikian tanpa mengira bangsa. Namun
saya tidak boleh membiarkan ini berterusan. Melayu menjatuhkan Melayu.
Sedangkan yang lain, saling menyokong/membantu.
Berapa
kerat saja yang sudi membantu untuk memperbaiki ketidakbetulan seseorang?
Sekiranya belum cukup mampu atau hebat dalam mengubah seseorang,
sekurang-kurangnya berdoalah untuk kebaikan.
Antara
sebab mengapa masih ramai lagi bangsa kita untuk maju :
1. Dengki
dengan kelebihan orang lain.
2. Mengutuk di
atas kekurangan/kelemahan orang lain.
3. Sarat dengan
fikiran negatif.
4. Gemar
melaga-lagakan orang demi kepentingan diri.
5. Berterusan
mengutuk daripada terus mendoakan kebaikan.
6. Gemar
mencuri tulang dalam bekerja kerana terlalu selesa dengan keadaan sekeliling.
7. Susah mahu
menerima teguran dari orang untuk kebaikan.
8. Tidak pernah
cuba untuk bermuhasabah diri, renungkan semula apa yang dilakukan sepanjang
masa atau hari.
Saya
memberi pandangan ini, bukan untuk menjatuhkan bangsa sendiri. Saya sayangkan
bangsa, sebab itulah saya mahu anda membuka minda dan hati untuk menerima
pandangan ini secara positif. Lagi sekali saya tekankan, saya bukan merujuk
pada semua, tetapi kebanyakan lagi diluar sana masih bersifat negatif.
Saya
berfikiran sebegini berdasarkan pengalaman sendiri. Saya tak sempurna, sebab
itu saya juga tidak lari dari berkelakuan buruk seperti yang tersenarai. Saya
sedar akan keburukan itu, dan tidak mahu ia terus lekat dalam diri.
Yang buruk
elok dibuang, yang baik elok diterapkan dalam hati. In shaa Allah kita hidup
dalam keadaan hati yang tenang, dipermudahkan urusan harian dan rezeki yang
melimpah ruah.
Friday, 8 November 2013
ORANG TAMAK SELALU RUGI
Salam,
Topik kali ni, nak
bercerita tentang makan. Hari-hari mesti kita makan dan sudah tentu hari-hari
kita mengeluarkan duit untuk makan. Sudah lama saya fikirkan perkara ni, yang
mana saya suka membuat perbandingan dalam hampir kesemua perkara yang saya
lalui. Dalam erti kata lain, saya suka berfikir dan akhirnya menghasilkan
pandangan saya sendiri.
Anda semua sudah
tentu pernah makan di McD. Dengan hidangan yang begitu menarik &
menyelerakan, ditambah pula dengan harga yang cukup murah (McValue Meal),
memang semua golongan mampu makan hidangan di McD.
Tak lupa juga,
hidangan nasi campur yang boleh didapati di mana-mana sahaja. Pernahkah anda
semua membuat perbandingan harga di antara makanan di McD dan juga makanan di
warung, restoran atau medan selera? Kebanyakannya mesti pernah.
Kalau tanya saya,
boleh dikatakan makanan di McD lebih murah dengan kebanyakan harga menu nasi
campur. Baru-baru ni saya makan di “food court” berlaukkan ikan keli goreng,
kentang dan nasi separuh. Harganya RM5.50. Itu belum sekali dengan air. Terus
terlintas dalam fikiran saya bandingkan dengan harga menu di McD. Kalau beli
set McChicken (McValue Meal) lagi untung sebab hanya perlu tambah beberapa sen
saja dari harga tadi, boleh dapat makanan yang lebih sedap dan puas hati.
McDonalds sebuah
syarikat francais makanan yang besar dan terkenal di seluruh dunia. Kalau
syarikat ternama macam McD pun tak kedekut dalam memberi kepuasan makanan dan
harga murah kepada pelanggan, kenapa peniaga kita tidak meletakkan harga yang
setimpal pada makanan yang dihidangkan?
Mungkin McD ada
strateginya tersendiri dalam perniagaan, yang mana anda semua pun sudah sedia
maklum dengan macam-macam spekulasi tentangnya. Saya enggan mengulas dengan
selanjutnya berkaitan dengan strategi perniagaannya kerana bukan itu yang saya
mahu ketengahkan. Yang pasti, McD bijak dalam menyusun strategi bagi memastikan
pelanggan mereka puas dengan perkhidmatan yang diberi. Apa yang penting dalam
perniagaan makanan ini, harga biar menarik, rasa makanan haruslah enak, barulah
orang pun tercari-cari.
Perniagaan nasi
campur yang kebanyakan dikuasai oleh orang Melayu kita, kenapa tidak berfikir
sejenak tentang perkara ini? Sudah tentu peniaga kita ada kelebihan kerana
makanan nasi campur jauh lebih sihat berbanding makanan segera yang berminyak
dan macam-macam bahan kimia digunakan.
Bukanlah saya
mahupun pelanggan-pelanggan lain kedekut atau berkira tentang harga tetapi kami
terasa tertipu. Jangan terlalu seronok berniaga, tamak dek kerana mahu cepat
kaya dan mengaut keuntungan berlipat ganda, tapi pelanggan terus menyumpah
seranah dengan cara perniagaan peniaga.
Kami tidak kisah
langsung bayar lebih kalau berbaloi. Cubalah fikir, bukan semua orang di
Malaysia berkemampuan, memperoleh gaji yang tinggi, di mana ada dalam kalangan
mereka sudah merangka bajet makan dalam sehari. Perniagaan yang dijalankan pun
bukan di hotel atau tapak-tapak yang eksklusif sehingga meletakkan harga yang
sangat tidak masuk akal.
Saya cuma
mengharapkan, agar para peniaga kita ada sifat bertimbang rasa dalam berniaga.
Takkan nak tengok orang-orang kita memilih makan di McD atau mana-mana restoran
makanan segera yang lain sebagai santapan harian mereka setiap hari. Saya tidak
mahu bangsa kita terutama sekali anak-anak muda, dibesarkan dengan makanan
segera.
Allah SWT dah beri
jalan untuk berniaga sebagai punca rezeki, janganlah tamak & mengambil
kesempatan pula di atasnya. Contohilah cara dan strategi perniagaan dari
peniaga yang berjaya khususnya bangsa-bangsa lain. Nak jadi golongan cerdik
dalam perniagaan, harus belajar tidak kira mana sumbernya, tak kisahlah dari
Cina ke, Yahudi ke, asalkan kita tahu halal haram dalam perniagaan. Untuk
pengetahuan semua, untung yang berlipat ganda dari yang sepatutnya pun dikira haram
disisi Islam.
Baiklah, disini
saja luahan dan pandangan saya. Anda boleh menilai sendiri dengan isu yang saya
kongsikan. Sama-sama kita dengan minda terbuka menyuarakan pandangan
masing-masing.
P/S : Nak belajar
masak, lebih untung makan masak
Wednesday, 30 October 2013
BUANG SIFAT MEMANDANG RENDAH TERHADAP ORANG
Salam,
Dalam
kehidupan seharian, kita sering melihat pengutip sampah, “pak guard” dan
seumpamanya.
Pernahkah
kita melihat kehebatan yang dimiliki oleh pekerja-pekerja rendah am seperti
mereka?
Mereka
bekerja mencari rezeki yang halal demi menampung kehidupan ahli keluarga
mereka. Ini adalah satu ibadah yang sangat mulia.
Mereka
bertungkus lumus menjaga kebersihan alam sekitar dan tanpanya sukar untuk
dibayangkan bagaimana kita berhadapan dengan permasalahan sampah dan bau busuk.
Persoalannya,
pernahkah kita menyapa mereka? Pernahkah kita memberi salam atau mengangkat
tangan kepada mereka? Pernahkah kita memberi sesuatu kepada mereka walaupun
hanya sebotol air mineral?
Walaupun
isu ini dianggap kecil tetapi hidup kita pasti sukar tanpa mereka. Ada dalam
kalangan mereka yang pernah diperhatikan. Dia bekerja sebagai buruh pengutip
sampah di siang hari, dan kemudiannya bekerja sebagai sekuriti di sebelah malam
bagi menampung pendapatannya yang rendah.
Dia
harus menyara 6 orang anaknya yang bersekolah dan yang sedang membesar. Namun
dia tidak pernah kelihatan mengeluh malah sentiasa menjaga solatnya.
Lebih
mengkagumkan lagi apabila dia turut membayar zakat di Pusat Zakat Negeri
walaupun pernah diberitahu bahawa kadar pendapatannya yang rendah menyebabkan
dia dimasukkan di kategori tidak wajib untuk membayar zakat.
Mereka
mungkin dipandang rendah oleh orang ramai tetapi jangan lupa bahawa kehebatan
mereka memungkinkan mereka mendahului kita sebagai calon ahli syurga.
Ingatlah wahai
kawan-kawanku sekalian. Dugaan itu tidak merupa dalam bentuk kesusahan sahaja,
malah kesenangan yang ada sekarang juga adalah dugaan. Dugaan yang diciptakan
untuk menguji hambaNya yang bersyukur dan hambaNya yang kufur.
Tuesday, 29 October 2013
ALHAMDULILLAH.. BERSYUKURKAH KITA?
Salam,
Alhamdulillah... ucapan yang dulunya saya jarang-jarang
guna. Apa saja yang saya lakukan, langsung tidak pernah teringat untuk
melafazkan Alhamdulillah. Tak kiralah sama ada tersedar dari tidur, sudah
kenyang selepas makan, diberi kesihatan yang baik, rezeki yang tak putus setiap
bulan, adakah kita pernah melafazkan ucapan tanda syukur kepada Allah SWT?
Saya bersyukur kini saya diberi kesedaran betapa pentingnya
kita untuk ingat padaNya. Jangan terlalu sibuk mengejar nikmat dunia sehingga
lupa pada yang memberi. Sejak saya diberi kesedaran seumpama ini, saya lebih banyak
bersyukur, lebih banyak sedar akan kekurangan diri agar tidak terlalu lalai
dengan kelebihan yang sementara.
Ya, tidak semua manusia memiliki tuah yang sama. Tidak semua
memiliki kesempurnaan fizikal, tidak semua memiliki kekayaan harta.
Kesimpulannya, kita hidup di dunia ini dengan takdir yang berbeza. Setiap apa
yang diberi dalam kehidupan kita, itu semua adalah ujian dari Allah SWT.
Kita cantik atau buruk, kaya atau miskin, pandai atau kurang
bijak, itu semua ujian dariNya. Pada yang memiliki kelebihan, kita diuji sama
ada kita bersyukur padaNya atau tidak. Adakah kita menggunakan kelebihan itu ke
arah yang betul? Bagi yang mempunyai kelemahan, kita juga diuji. Adakah kita
masih bersyukur dengan pemberianNya? Adakah kita berusaha keras untuk berubah
ke arah kemajuan diri?
Saya juga tidak terlepas dengan pelbagai ujian dari Allah
SWT. Dugaan demi dugaan tidak pernah putus untuk terus lekat dalam hidup saya.
Bagi yang mengenali diri ini, mungkin akan menganggap dugaan yang saya hadapi,
tidak seberat mana. Ya, memang benar dan oleh sebab itulah saya bersyukur.
Namun seksa hati ini, ada siapa yang tahu? Tidak kan melainkan Allah SWT saja
yang tahu.
Dugaan saya yang amat berat kini adalah untuk menyedarkan
orang sekeliling betapa penting dan harus ada perasaan bersyukur kita kepada
Allah SWT. Apatah lagi orang itu merupakan ahli keluarga kita sendiri. Orang
yang kita sayang.
Saya tahu bukan mudah untuk mengubah seseorang. Sebelum
mengubah seseorang, kita harus mengubah diri sendiri dahulu. Barulah mudah
untuk kita menyampaikan kebaikan dan diri sendiri dijadikan contoh kepada
mereka. Dengan harapan, masing-masing boleh berubah ke arah kebaikan sebelum
terlambat.
Berhenti dulu di sini, InsyaAllah akan bersambung dengan
lebih detail lagi pada post yang seterusnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)