Monday, 2 December 2013

SAYANGI MARUAH BANGSA


Salam,

Sejak akhir-akhir ini, saya banyak terbaca pelbagai isu hangat yang melanda negara. Baik dari segi politik, isu semasa, tidak ketinggalan juga industri hiburan. Amat jarang sekali untuk saya menyuarakan pendapat dengan memberi komen pada isu-isu yang diketengahkan. Bukannya tidak berminat, tapi minat itu terputus serta-merta apabila melihat komen-komen yang lain.

Ternyata ramai orang gemar memberi kata-kata kesat sebagai cara menyuarakan pendapat. Apa yang menyedihkan lagi, rata-rata orang Melayu kita yang banyak memberi komen negatif serta mencaci maki menunjukkan rasa tidak puas hati. Sudah terlalu banyak, sehingga saya terfikir, sampai bila harus adanya sifat sebegini dalam bangsa kita?

Memang benar, sesiapa saja juga boleh bertindak sedemikian tanpa mengira bangsa. Namun saya tidak boleh membiarkan ini berterusan. Melayu menjatuhkan Melayu. Sedangkan yang lain, saling menyokong/membantu.

Berapa kerat saja yang sudi membantu untuk memperbaiki ketidakbetulan seseorang? Sekiranya belum cukup mampu atau hebat dalam mengubah seseorang, sekurang-kurangnya berdoalah untuk kebaikan. 

Antara sebab mengapa masih ramai lagi bangsa kita untuk maju :

1.      Dengki dengan kelebihan orang lain.
2.      Mengutuk di atas kekurangan/kelemahan orang lain.
3.      Sarat dengan fikiran negatif.
4.      Gemar melaga-lagakan orang demi kepentingan diri.
5.      Berterusan mengutuk daripada terus mendoakan kebaikan.
6.      Gemar mencuri tulang dalam bekerja kerana terlalu selesa dengan keadaan sekeliling.
7.      Susah mahu menerima teguran dari orang untuk kebaikan.
8.      Tidak pernah cuba untuk bermuhasabah diri, renungkan semula apa yang dilakukan sepanjang masa atau hari.

Saya memberi pandangan ini, bukan untuk menjatuhkan bangsa sendiri. Saya sayangkan bangsa, sebab itulah saya mahu anda membuka minda dan hati untuk menerima pandangan ini secara positif. Lagi sekali saya tekankan, saya bukan merujuk pada semua, tetapi kebanyakan lagi diluar sana masih bersifat negatif. 

Saya berfikiran sebegini berdasarkan pengalaman sendiri. Saya tak sempurna, sebab itu saya juga tidak lari dari berkelakuan buruk seperti yang tersenarai. Saya sedar akan keburukan itu, dan tidak mahu ia terus lekat dalam diri. 

Yang buruk elok dibuang, yang baik elok diterapkan dalam hati. In shaa Allah kita hidup dalam keadaan hati yang tenang, dipermudahkan urusan harian dan rezeki yang melimpah ruah.

Friday, 8 November 2013

ORANG TAMAK SELALU RUGI



Salam,

Topik kali ni, nak bercerita tentang makan. Hari-hari mesti kita makan dan sudah tentu hari-hari kita mengeluarkan duit untuk makan. Sudah lama saya fikirkan perkara ni, yang mana saya suka membuat perbandingan dalam hampir kesemua perkara yang saya lalui. Dalam erti kata lain, saya suka berfikir dan akhirnya menghasilkan pandangan saya sendiri.

Anda semua sudah tentu pernah makan di McD. Dengan hidangan yang begitu menarik & menyelerakan, ditambah pula dengan harga yang cukup murah (McValue Meal), memang semua golongan mampu makan hidangan di McD.

Tak lupa juga, hidangan nasi campur yang boleh didapati di mana-mana sahaja. Pernahkah anda semua membuat perbandingan harga di antara makanan di McD dan juga makanan di warung, restoran atau medan selera? Kebanyakannya mesti pernah.

Kalau tanya saya, boleh dikatakan makanan di McD lebih murah dengan kebanyakan harga menu nasi campur. Baru-baru ni saya makan di “food court” berlaukkan ikan keli goreng, kentang dan nasi separuh. Harganya RM5.50. Itu belum sekali dengan air. Terus terlintas dalam fikiran saya bandingkan dengan harga menu di McD. Kalau beli set McChicken (McValue Meal) lagi untung sebab hanya perlu tambah beberapa sen saja dari harga tadi, boleh dapat makanan yang lebih sedap dan puas hati. 

McDonalds sebuah syarikat francais makanan yang besar dan terkenal di seluruh dunia. Kalau syarikat ternama macam McD pun tak kedekut dalam memberi kepuasan makanan dan harga murah kepada pelanggan, kenapa peniaga kita tidak meletakkan harga yang setimpal pada makanan yang dihidangkan?

Mungkin McD ada strateginya tersendiri dalam perniagaan, yang mana anda semua pun sudah sedia maklum dengan macam-macam spekulasi tentangnya. Saya enggan mengulas dengan selanjutnya berkaitan dengan strategi perniagaannya kerana bukan itu yang saya mahu ketengahkan. Yang pasti, McD bijak dalam menyusun strategi bagi memastikan pelanggan mereka puas dengan perkhidmatan yang diberi. Apa yang penting dalam perniagaan makanan ini, harga biar menarik, rasa makanan haruslah enak, barulah orang pun tercari-cari.

Perniagaan nasi campur yang kebanyakan dikuasai oleh orang Melayu kita, kenapa tidak berfikir sejenak tentang perkara ini? Sudah tentu peniaga kita ada kelebihan kerana makanan nasi campur jauh lebih sihat berbanding makanan segera yang berminyak dan macam-macam bahan kimia digunakan. 

Bukanlah saya mahupun pelanggan-pelanggan lain kedekut atau berkira tentang harga tetapi kami terasa tertipu. Jangan terlalu seronok berniaga, tamak dek kerana mahu cepat kaya dan mengaut keuntungan berlipat ganda, tapi pelanggan terus menyumpah seranah dengan cara perniagaan peniaga. 

Kami tidak kisah langsung bayar lebih kalau berbaloi. Cubalah fikir, bukan semua orang di Malaysia berkemampuan, memperoleh gaji yang tinggi, di mana ada dalam kalangan mereka sudah merangka bajet makan dalam sehari. Perniagaan yang dijalankan pun bukan di hotel atau tapak-tapak yang eksklusif sehingga meletakkan harga yang sangat tidak masuk akal.

Saya cuma mengharapkan, agar para peniaga kita ada sifat bertimbang rasa dalam berniaga. Takkan nak tengok orang-orang kita memilih makan di McD atau mana-mana restoran makanan segera yang lain sebagai santapan harian mereka setiap hari. Saya tidak mahu bangsa kita terutama sekali anak-anak muda, dibesarkan dengan makanan segera. 

Allah SWT dah beri jalan untuk berniaga sebagai punca rezeki, janganlah tamak & mengambil kesempatan pula di atasnya. Contohilah cara dan strategi perniagaan dari peniaga yang berjaya khususnya bangsa-bangsa lain. Nak jadi golongan cerdik dalam perniagaan, harus belajar tidak kira mana sumbernya, tak kisahlah dari Cina ke, Yahudi ke, asalkan kita tahu halal haram dalam perniagaan. Untuk pengetahuan semua, untung yang berlipat ganda dari yang sepatutnya pun dikira haram disisi Islam.

Baiklah, disini saja luahan dan pandangan saya. Anda boleh menilai sendiri dengan isu yang saya kongsikan. Sama-sama kita dengan minda terbuka menyuarakan pandangan masing-masing.

P/S : Nak belajar masak, lebih untung makan masak

Wednesday, 30 October 2013

BUANG SIFAT MEMANDANG RENDAH TERHADAP ORANG


Salam,

Dalam kehidupan seharian, kita sering melihat pengutip sampah, “pak guard” dan seumpamanya. 

Pernahkah kita melihat kehebatan yang dimiliki oleh pekerja-pekerja rendah am seperti mereka?

Mereka bekerja mencari rezeki yang halal demi menampung kehidupan ahli keluarga mereka. Ini adalah satu ibadah yang sangat mulia.
Mereka bertungkus lumus menjaga kebersihan alam sekitar dan tanpanya sukar untuk dibayangkan bagaimana kita berhadapan dengan permasalahan sampah dan bau busuk. 

Persoalannya, pernahkah kita menyapa mereka? Pernahkah kita memberi salam atau mengangkat tangan kepada mereka? Pernahkah kita memberi sesuatu kepada mereka walaupun hanya sebotol air mineral?

Walaupun isu ini dianggap kecil tetapi hidup kita pasti sukar tanpa mereka. Ada dalam kalangan mereka yang pernah diperhatikan. Dia bekerja sebagai buruh pengutip sampah di siang hari, dan kemudiannya bekerja sebagai sekuriti di sebelah malam bagi menampung pendapatannya yang rendah. 

Dia harus menyara 6 orang anaknya yang bersekolah dan yang sedang membesar. Namun dia tidak pernah kelihatan mengeluh malah sentiasa menjaga solatnya.
Lebih mengkagumkan lagi apabila dia turut membayar zakat di Pusat Zakat Negeri walaupun pernah diberitahu bahawa kadar pendapatannya yang rendah menyebabkan dia dimasukkan di kategori tidak wajib untuk membayar zakat. 

Mereka mungkin dipandang rendah oleh orang ramai tetapi jangan lupa bahawa kehebatan mereka memungkinkan mereka mendahului kita sebagai calon ahli syurga. 

Ingatlah wahai kawan-kawanku sekalian. Dugaan itu tidak merupa dalam bentuk kesusahan sahaja, malah kesenangan yang ada sekarang juga adalah dugaan. Dugaan yang diciptakan untuk menguji hambaNya yang bersyukur dan hambaNya yang kufur.

Tuesday, 29 October 2013

ALHAMDULILLAH.. BERSYUKURKAH KITA?


Salam,

Alhamdulillah... ucapan yang dulunya saya jarang-jarang guna. Apa saja yang saya lakukan, langsung tidak pernah teringat untuk melafazkan Alhamdulillah. Tak kiralah sama ada tersedar dari tidur, sudah kenyang selepas makan, diberi kesihatan yang baik, rezeki yang tak putus setiap bulan, adakah kita pernah melafazkan ucapan tanda syukur kepada Allah SWT?

Saya bersyukur kini saya diberi kesedaran betapa pentingnya kita untuk ingat padaNya. Jangan terlalu sibuk mengejar nikmat dunia sehingga lupa pada yang memberi. Sejak saya diberi kesedaran seumpama ini, saya lebih banyak bersyukur, lebih banyak sedar akan kekurangan diri agar tidak terlalu lalai dengan kelebihan yang sementara. 

Ya, tidak semua manusia memiliki tuah yang sama. Tidak semua memiliki kesempurnaan fizikal, tidak semua memiliki kekayaan harta. Kesimpulannya, kita hidup di dunia ini dengan takdir yang berbeza. Setiap apa yang diberi dalam kehidupan kita, itu semua adalah ujian dari Allah SWT. 

Kita cantik atau buruk, kaya atau miskin, pandai atau kurang bijak, itu semua ujian dariNya. Pada yang memiliki kelebihan, kita diuji sama ada kita bersyukur padaNya atau tidak. Adakah kita menggunakan kelebihan itu ke arah yang betul? Bagi yang mempunyai kelemahan, kita juga diuji. Adakah kita masih bersyukur dengan pemberianNya? Adakah kita berusaha keras untuk berubah ke arah kemajuan diri?

Saya juga tidak terlepas dengan pelbagai ujian dari Allah SWT. Dugaan demi dugaan tidak pernah putus untuk terus lekat dalam hidup saya. Bagi yang mengenali diri ini, mungkin akan menganggap dugaan yang saya hadapi, tidak seberat mana. Ya, memang benar dan oleh sebab itulah saya bersyukur. Namun seksa hati ini, ada siapa yang tahu? Tidak kan melainkan Allah SWT saja yang tahu. 

Dugaan saya yang amat berat kini adalah untuk menyedarkan orang sekeliling betapa penting dan harus ada perasaan bersyukur kita kepada Allah SWT. Apatah lagi orang itu merupakan ahli keluarga kita sendiri. Orang yang kita sayang. 

Saya tahu bukan mudah untuk mengubah seseorang. Sebelum mengubah seseorang, kita harus mengubah diri sendiri dahulu. Barulah mudah untuk kita menyampaikan kebaikan dan diri sendiri dijadikan contoh kepada mereka. Dengan harapan, masing-masing boleh berubah ke arah kebaikan sebelum terlambat.

Berhenti dulu di sini, InsyaAllah akan bersambung dengan lebih detail lagi pada post yang seterusnya.