Monday, 2 December 2013

SAYANGI MARUAH BANGSA


Salam,

Sejak akhir-akhir ini, saya banyak terbaca pelbagai isu hangat yang melanda negara. Baik dari segi politik, isu semasa, tidak ketinggalan juga industri hiburan. Amat jarang sekali untuk saya menyuarakan pendapat dengan memberi komen pada isu-isu yang diketengahkan. Bukannya tidak berminat, tapi minat itu terputus serta-merta apabila melihat komen-komen yang lain.

Ternyata ramai orang gemar memberi kata-kata kesat sebagai cara menyuarakan pendapat. Apa yang menyedihkan lagi, rata-rata orang Melayu kita yang banyak memberi komen negatif serta mencaci maki menunjukkan rasa tidak puas hati. Sudah terlalu banyak, sehingga saya terfikir, sampai bila harus adanya sifat sebegini dalam bangsa kita?

Memang benar, sesiapa saja juga boleh bertindak sedemikian tanpa mengira bangsa. Namun saya tidak boleh membiarkan ini berterusan. Melayu menjatuhkan Melayu. Sedangkan yang lain, saling menyokong/membantu.

Berapa kerat saja yang sudi membantu untuk memperbaiki ketidakbetulan seseorang? Sekiranya belum cukup mampu atau hebat dalam mengubah seseorang, sekurang-kurangnya berdoalah untuk kebaikan. 

Antara sebab mengapa masih ramai lagi bangsa kita untuk maju :

1.      Dengki dengan kelebihan orang lain.
2.      Mengutuk di atas kekurangan/kelemahan orang lain.
3.      Sarat dengan fikiran negatif.
4.      Gemar melaga-lagakan orang demi kepentingan diri.
5.      Berterusan mengutuk daripada terus mendoakan kebaikan.
6.      Gemar mencuri tulang dalam bekerja kerana terlalu selesa dengan keadaan sekeliling.
7.      Susah mahu menerima teguran dari orang untuk kebaikan.
8.      Tidak pernah cuba untuk bermuhasabah diri, renungkan semula apa yang dilakukan sepanjang masa atau hari.

Saya memberi pandangan ini, bukan untuk menjatuhkan bangsa sendiri. Saya sayangkan bangsa, sebab itulah saya mahu anda membuka minda dan hati untuk menerima pandangan ini secara positif. Lagi sekali saya tekankan, saya bukan merujuk pada semua, tetapi kebanyakan lagi diluar sana masih bersifat negatif. 

Saya berfikiran sebegini berdasarkan pengalaman sendiri. Saya tak sempurna, sebab itu saya juga tidak lari dari berkelakuan buruk seperti yang tersenarai. Saya sedar akan keburukan itu, dan tidak mahu ia terus lekat dalam diri. 

Yang buruk elok dibuang, yang baik elok diterapkan dalam hati. In shaa Allah kita hidup dalam keadaan hati yang tenang, dipermudahkan urusan harian dan rezeki yang melimpah ruah.