Salam,
Dalam
kehidupan seharian, kita sering melihat pengutip sampah, “pak guard” dan
seumpamanya.
Pernahkah
kita melihat kehebatan yang dimiliki oleh pekerja-pekerja rendah am seperti
mereka?
Mereka
bekerja mencari rezeki yang halal demi menampung kehidupan ahli keluarga
mereka. Ini adalah satu ibadah yang sangat mulia.
Mereka
bertungkus lumus menjaga kebersihan alam sekitar dan tanpanya sukar untuk
dibayangkan bagaimana kita berhadapan dengan permasalahan sampah dan bau busuk.
Persoalannya,
pernahkah kita menyapa mereka? Pernahkah kita memberi salam atau mengangkat
tangan kepada mereka? Pernahkah kita memberi sesuatu kepada mereka walaupun
hanya sebotol air mineral?
Walaupun
isu ini dianggap kecil tetapi hidup kita pasti sukar tanpa mereka. Ada dalam
kalangan mereka yang pernah diperhatikan. Dia bekerja sebagai buruh pengutip
sampah di siang hari, dan kemudiannya bekerja sebagai sekuriti di sebelah malam
bagi menampung pendapatannya yang rendah.
Dia
harus menyara 6 orang anaknya yang bersekolah dan yang sedang membesar. Namun
dia tidak pernah kelihatan mengeluh malah sentiasa menjaga solatnya.
Lebih
mengkagumkan lagi apabila dia turut membayar zakat di Pusat Zakat Negeri
walaupun pernah diberitahu bahawa kadar pendapatannya yang rendah menyebabkan
dia dimasukkan di kategori tidak wajib untuk membayar zakat.
Mereka
mungkin dipandang rendah oleh orang ramai tetapi jangan lupa bahawa kehebatan
mereka memungkinkan mereka mendahului kita sebagai calon ahli syurga.
Ingatlah wahai
kawan-kawanku sekalian. Dugaan itu tidak merupa dalam bentuk kesusahan sahaja,
malah kesenangan yang ada sekarang juga adalah dugaan. Dugaan yang diciptakan
untuk menguji hambaNya yang bersyukur dan hambaNya yang kufur.