Tuesday, 29 October 2013

KISAH MENARIK : REZEKI ITU DATANG DARI ALLAH SWT


Salam,

Di sini saya ingin berkongsi satu kisah yang penuh inspirasi. Kisah yang ringkas tetapi sangat menarik.

Sebuah syarikat menjalankan sesi temuduga terbuka jawatan “office boy”. Jawatan yang biasa-biasa saja namun seorang lelaki muda ini gigih untuk mendapatkan jawatan itu. 

Si penemuduga berminat dengan cara lelaki muda itu. Dari gaya percakapan, personaliti dan cara dia membawa diri itu amat menarik perhatiannya. 

Setelah berjaya terpilih untuk mengisi jawatan itu, dia harus mengisi borang dengan maklumat diri yang lengkap. Namun dia tidak mengisi ruang alamat emel. Dengan itu, si penemuduga itu terus bertanya,

“Kenapa awak tak isi alamat emel?”

“Saya tiada emel, Tuan. Saya tidak pernah menggunakan komputer atau mana-mana alatan canggih yang memerlukan saya untuk mempunyai emel” jawab pemuda itu.

“Ini sungguh mustahil. Orang zaman sekarang, semua pasti ada emel. Macam mana saya mahu beri jawatan ini pada awak sedangkan emel pun awak tak ada?” kata si penemuduga itu dengan hampa.

Jadi pemuda itu gagal mendapat jawatan sebagai “office boy”. Berjalan dengan penuh kesedihan, pemuda itu singgah di sebuah kedai buah dan membeli tiga biji buah epal dengan harga RM1 sebiji. Dia risau kerana duit poketnya kini hanya tinggal RM5. 

Tiba-tiba pemuda itu mendapat idea iaitu menjual semula epal-epal yang dibelinya kepada jiran-jirannya. Di situ dia telah menggandakan jumlah wang yang ada. Pemuda itu melakukan perkara yang sama setiap hari sehingga dia mampu memiliki sebuah gerai buah-buahan yang kecil. 

Dia memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Pemuda itu kini memiliki empayar perniagaan dan pengeksport buah-buahan.
Maka dalam suatu hari, hadir seorang pelanggan setia bertanya kepada lelaki itu.

“Saya kagum dengan kejayaan Tuan dalam mengendalikan perniagaan ini. Malah Tuan mempunyai syarikat besar untuk terus maju. Namun saya pelik, Tuan mampu berjaya sampai ke tahap ini tanpa emel? Saya tak boleh bayangkan sekiranya tuan mempunyai emel.”

Setelah berfikir dan merenung, lelaki itu menjawab,

“Saya mungkin hanya menjadi seorang ‘office boy’ ‘!”

Kejayaan tidak akan datang bergolek. Ia seharusnya disertakan dengan usaha yang gigih, percaya pada kemampuan diri & berdoalah pada Allah SWT.

KISAH BARU DAN SETERUSNYA


Salam,

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk menyinggah dan membaca hasil tulisan saya disini. Tujuan saya membuka blog baru ini kerana mahu menutup kisah lama dan tumpu pada kehidupan saya yang baru.

InsyaAllah di blog ini saya akan lebih aktif untuk menulis post baru. Di sini sajalah tempat saya meluahkan segala rasa dan ingin berkongsi dengan semua.

Sudah tentu Allah SWT dijadikan tempat untuk saya mengadu segala masalah dan isi hati. Namun di dunia ini, saya juga perlukan tempat luahan dan boleh bertukar pendapat. Ini juga cara yang boleh mematangkan diri ini dan saya boleh fokus pada sesuatu yang lebih penting.

Ternyata kehidupan saya kini lebih mencabar berbanding dulu. Sejak pemergian arwah ayah, segala-galanya berubah. Terlalu banyak. Saya akan berkongsi perubahan demi perubahan disini. Bagi saya, ini diari kehidupan saya. Cuma ini tidak terlalu peribadi dan saya hanya meluahkan berdasar pada kesesuaian untuk bacaan umum. 

Semoga perkongsian hidup saya disini boleh memberi pelbagai sumber kepada pembaca sama ada inspirasi, pengajaran mahupun contoh dalam hidup.

Anda semua dialu-alukan untuk berkongsi segala pendapat bagi membantu saya dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Sampai disini sahaja dahulu. InsyaAllah, saya bakal menyusul dengan post-post yang seterusnya.